Monday 1 September 2014

Risiko Melabur di dalam Saham Amanah

Semua jenis pelaburan mempunyai risiko. Walau bagaimanapun, risiko yang akan dihadapi adalah berbeza di antara satu sama lain. Pelabur perlu bersedia untuk menghadapi serba sedikit risiko. Bagi sesetengah pelaburan perubahan pasaran saham akan meninggalkan kesan-kesan negatif atau positif.

Dari itu, para pelabur dinasihatkan untuk memantau pelaburan mereka setiap masa. Pengurus dana yang berpengalaman luas sekalipun tidak dapat mengawal keadaan pasaran dan faktor-faktor lain yang turut menentukan atau mempengaruhi nilai pelaburan yang telah anda buat.

Dengan yang demikian nilai pelaburan anda akan berubah mengikut perubahan harga saham di pasaran saham. Risiko melabur di dalam saham amanah boleh diringkaskan seperti berikut:



1. Risiko Pasaran

Pelaburan di dalam saham amanah adalah dipengaruhi oleh risiko pasaran yang merangkumi perubahan-perubahan yang berlaku dari aspek ekonomi, politik dan persekitaran sosial. Perubahan-perubahan ini pula akan mempengaruhi prestasi pasaran saham yang seterusnya akan menjejaskan harga-harga nilai unit amanah apabila sebahagian besar portfolio dana tersebut dilaburkan dalam ekuiti di pasaran saham.

2. Risiko Portfolio

Ini merujuk kepada risiko saham tertentu yang terdapat di dalam portfolio dana amanah saham. Sesebuah syarikat mungkin akan meraih keuntungan atau mengalami kerugian dan apabila saham syarikat ini dipegang oleh dana amanah saham tertentu, nilai unit amanah itu akan turut naik atau turun. Risiko ini boleh dikurangkan dengan mempelbagaikan portfolio dan memastikan dana tersebut tidak terlalu menjurus kepada syarikat-syarikat atau sektor-sektor tertentu sahaja.

3. Tiada Jaminan bagi Dividen

Memandangkan dividen kepada pemegang unit diperolehi daripada pendapatan pelaburan, maka kadar dividen tidak dapat ditetapkan. Jika sesebuah dana meraih pendapatan daripada pelaburan yang baik pada sesuatu tahun kewangan, pemegang unit dana tersebut berkemungkinan mendapat dividen yang tinggi.

4. Syarikat Pengurusan

Prestasi sesebuah dana amanah saham itu bergantung kepada kepakaran syarikat pengurusan. Pengurusan yang lemah akan meninggalkan kesan terhadap prestasi dana dan pemegang unit. Untuk itu, sebagai pelabur, anda dinasihatkan supaya membuat kajian menyeluruh mengenai latar belakang syarikat pengurusan di samping kepakaran yang mereka ada. Pelabur juga perlu diingatkan supaya peka dengan garispandaun-garispanduan serta undang-undang yang mengawal industri ini bagi memastikan syarikat pengurusan menguruskan dana-dana mengikut peraturan yang ditetapkan.

5. Risiko Kecairan

Walaupun anda sebagai pelabur berhak untuk menjual semula unit-unit amanah yang anda pegang kepada syarikat pengurusan, anda perlu menunggu sebelum mendapat kembali wang pelaburan anda. Syarikat pengurusan dibenar membayar semula wang pelaburan pelabur dalam tempoh sepuluh hari dari tarikh unit-unit dijual.

No comments:

Post a Comment