Saturday 12 September 2015

Jenis-Jenis Dana Saham Amanah Di Malaysia


Seiring dengan perkembangan inovasi di dalam produk kewangan yang diterajui oleh kepesatan teknologi maklumat dan kepelbagaian pelaburan, jenis dana saham amanah di Malaysia juga telah turut dipelbagaikan berbanding dengan dekad 70-an dan 80-an. 

Pelabur di Malaysia kini mempunyai pilihan untuk memilih jenis dana saham amanah yang bersesuaian dengan objektif pelaburan mereka.

Di dalam siri kali ini, kita akan menerangkan tentang jenis-jenis dana saham amanah di Malaysia. Bagi memudahkan pelabur membuat rujukan, penerangan berdasarkan kepada jenis dana saham amanah seperti yang diklasifikasikan oleh ‘Lipper Asia Limited’ (Lipper), sebuah syarikat penyelidikan berkecuali mempunyai kepakaran khusus dalam membuat analisa industri pelaburan dana antarabangsa. Syarikat ini bekerjasama dengan Persekutuan Pengurus-Pengurus Unit Amanah Malaysia (FMUTM) untuk mengumpulkan maklumat menyeluruh tentang dana-dana di Malaysia.


Mengikut Lipper, dana saham amanah di Malaysia boleh dibahagikan kepada 10 jenis seperti berikut:

1. Dana Syariah

Dana Syariah menghadkan pelaburan dana di dalam saham dan instrumen pelaburan yang halal serta berlandaskan prinsip-prinsip Syariah. Bagi memastikan pelaburan dana tidak melanggar prinsip Islam, setiap Dana Syariah di Malaysia dimestikan untuk mempunyai Panel Penasihat Syariah yang terdiri dari sekurang-kurangnya tiga (3) individu yang mempunyai pengetahuan, kepakaran dan pengalaman terutamanya di dalam bidang ‘fiqh muamallah’. Panel Penasihat Syariah ini bertanggungjawab memastikan bahawa pelaburan dana sentiasa halal. Antaranya ialah memastikan bahawa pelaburan dana tidak dibuat di dalam sekuriti syarikat yang mempunyai operasi berteraskan riba (faedah), perjudian, mengeluarkan dan menjual barangan haram serta mempunyai operasi yang melibatkan kegiatan yang mempunyai unsur ‘gharar’ (ketidakpastian) seperti perniagaan insurans konvensional. Kini terdapat 12 Dana Syariah di Malaysia.

2. Dana Pengembangan dan Pendapatan

Terdapat paling banyak dana saham amanah dikategorikan sebagai Dana Pengembangan dan Pendapatan (36 dana sehingga kini). Dana jenis ini melaburkan sebahagian besar modalnya di dalam sekuriti di pasaran saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) manakala sebahagian lagi dilaburkan di dalam instrumen pasaran wang tempatan. Dana jenis ini paling digemari oleh orang ramai kerana pelabur boleh menikmati pulangan dari pelaburan mereka menerusi dua (2) cara iaitu pengembangan modal (hasil dari kenaikan harga unit) dan/atau dividen (jika ada). Prestasi dana ini bergantung sebahagian besar kepada prestasi BSKL kerana kebanyakan pelaburan dibuat ke atas saham-saham di BSKL.

3. Dana Pengembangan

Dana jenis ini juga agak popular di kalangan syarikat pengurusan amanah saham dan pelabur. Terdapat 16 Dana Pengembangan di Malaysia kini. Dari segi pelaburan dana, ianya serupa dengan Dana Pengembangan dan Pendapatan. Perbezaannya hanyalah dari segi pulangan di mana Dana Pengembangan lebih mengutamakan pengembangan modal dari pembayaran dividen. Pelabur yang melabur di dalam dana ini boleh mengharapkan pulangan yang lebih menarik dari segi pengembangan modal terutama apabila pasaran saham meningkat tetapi pulangan dari dividen adalah lebih terhad.

4. Dana Pasaran Wang

Dana jenis ini menghadkan pelaburannya di dalam instrumen pasaran wang yang dibenarkan sahaja dan tidak membuat pelaburan di dalam sekuriti/ekuiti di bursa saham seperti kebanyakan dana saham amanah yang lain. Dana jenis ini mempunyai risiko paling rendah jika dibandingkan dengan dana saham amanah lain yang membuat pelaburan di pasaran saham. Namun begitu, pulangan dari dana jenis ini juga adalah rendah kerana lazimnya pelaburan di dalam instrumen pasaran wang memberikan pulangan yang lebih rendah jika dibandingkan dengan pelaburan di bursa saham. Dana jenis ini kurang popular dan hanya terdapat dua (2) Dana Pasaran Wang sahaja di Malaysia.

5. Dana Seimbang

Dana saham amanah jenis ini adalah gandingan di antara Dana Pengembangan dan Pendapatan dengan Dana Pasaran Wang. Ia secara amnya melabur sebahagian daripada modal di pasaran saham manakala sebahagian lagi dilaburkan di dalam instrumen pasaran wang. Di antara kelebihan Dana Seimbang ialah ianya berupaya memberi pulangan yang lebih tinggi daripada Dana Pasaran Wang manakala risikonya pula adalah lebih rendah dari Dana Pengembangan dan Pendapatan. Pemegang unit dana jenis ini boleh mengharapkan pulangan yang terletak di antara pulangan instrumen pasaran wang dan pulangan di bursa saham. Terdapat lima (5) Dana Seimbang dalam industri saham amanah di Malaysia.

6. Dana Pendapatan Seimbang

Dana jenis ini adalah hampir serupa dengan Dana Seimbang dari segi pelaburan yang dibuat. Apa yang membezakannya ialah hampir keseluruhan pendapatan yang diperolehi oleh dana jenis ini dalam sesuatu tahun kewangan akan dibayar kepada pemegang unit dalam bentuk dividen. Oleh itu, secara amnya dana jenis ini memberikan pulangan pengembangan modal yang lebih rendah tetapi pulangan dari dividen mungkin lebih menarik jika dibandingkan dengan Dana Seimbang. Di Malaysia kini terdapat enam (6) Dana Pendapatan Seimbang yang ditawarkan kepada para pelabur.

7. Dana Bon

Dana Bon pula menghadkan pelaburannya di dalam bon dan Sekuriti Hutang Persendirian (Private Debt Securities) atau lain-lain produk kewangan yang menyerupai bon dan tidak membuat pelaburan di dalam sekuriti/ekuiti di bursa saham seperti kebanyakan dana saham amanah yang lain. Dari segi profil risiko dan pulangan pula, ianya mirip kepada Dana Pasaran Wang di mana risiko dan pulangannya lebih rendah dari dana saham amanah yang melabur di bursa saham. Terdapat enam (6) Dana Bon di Malaysia kini.

8. Dana Indeks Ekuiti

Dana jenis ini juga dikenali sebagai dana pasif di mana portfolio dana dirangka supaya prestasi dana tersebut seiring dan mencerminkan prestasi sesuatu indeks di BSKL. Sebagai contoh, terdapat beberapa dana saham amanah yang objektifnya adalah untuk mengikut prestasi Indeks Komposit BSKL. Dana jenis ini akan membuat pelaburan di beberapa saham (kaunter) yang terdapat di dalam sesuatu indeks. Terdapat lima (5) dana jenis ini yang ditawarkan oleh syarikat pengurusan amanah saham kini.

9. Dana Syarikat Kecil Berkembang

Dana jenis ini akan mendefinasikan dan mengambil-kira saiz syarikat di mana modal dana tersebut boleh dilaburkan. Sebagai contohnya, terdapat dana yang menghadkan pelaburan di dalam sekuriti syarikat yang mempunyai Permodalan Pasaran (Market Capitalization) tidak lebih dari RM750 juta. Dana jenis ini lazimnya berisiko lebih tinggi jika dibandingkan dengan dana saham amanah yang lain kerana dana ini melabur di dalam sekuriti/ekuiti syarikat kecil yang sedang berkembang dan selalunya belum begitu stabil jika dibandingkan dengan syarikat besar. Terdapat enam (6) dana jenis ini di Malaysia kini.

10. Dana Negeri

Dana Negeri adalah dana saham amanah yang diuruskan oleh institusi yang dimiliki oleh kerajaan negeri. Sesetengah dana mengenakan syarat ke atas pelabur yang layak melabur di dalam dana tersebut. Sebagai contohnya, terdapat Dana Negeri yang menghadkan hanya pelabur bertaraf Bumiputera sahaja yang layak melabur. Terdapat tujuh (7) dana negeri di Malaysia kini di mana lima (5) darinya adalah Dana Ekuiti Konvensional dan dua (2) darinya adalah Dana Ekuiti Syariah.

Monday 1 September 2014

Pelaburan Unit Amanah - Tahukah Anda?

  1. Unit amanah adalah kolektif kolektif yang membolehkan pelabur berlainan mengumpulkan dan menggambungkan wang mereka dalam dana tunggal dan risiko pelaburan disebarkan merentasi pelbagai instrumen pelaburan.
  2. Pelabur unit amanah juga mendapat manfaat daripada pengurusan dana yang professional serta mengurangkan kos urus niaga mereka.
  3. Objektif pelaburan unit amanah: melabur bagi pendapatan atau pertumbuhan melalui syarikat-syarikat kecil atau besar, dan di kawasan-kawasan geografi yang berbeza.
  4. Unit amanah adalah satu bentuk pelaburan di mana pelaburan dilakukan untuk saham-saham syarikat, hartanah, komoditi dan sebagainya. 
  5. Nilai unit pelaburan bergantung kepada harga unit-unit dasar dan pencapaian unit dana yang dipilih berdasarkan strategi pelaburan peserta seperti harga saham/unit amanah, dan lain-lain.

Risiko Melabur di dalam Saham Amanah

Semua jenis pelaburan mempunyai risiko. Walau bagaimanapun, risiko yang akan dihadapi adalah berbeza di antara satu sama lain. Pelabur perlu bersedia untuk menghadapi serba sedikit risiko. Bagi sesetengah pelaburan perubahan pasaran saham akan meninggalkan kesan-kesan negatif atau positif.

Dari itu, para pelabur dinasihatkan untuk memantau pelaburan mereka setiap masa. Pengurus dana yang berpengalaman luas sekalipun tidak dapat mengawal keadaan pasaran dan faktor-faktor lain yang turut menentukan atau mempengaruhi nilai pelaburan yang telah anda buat.

Dengan yang demikian nilai pelaburan anda akan berubah mengikut perubahan harga saham di pasaran saham. Risiko melabur di dalam saham amanah boleh diringkaskan seperti berikut:



1. Risiko Pasaran

Pelaburan di dalam saham amanah adalah dipengaruhi oleh risiko pasaran yang merangkumi perubahan-perubahan yang berlaku dari aspek ekonomi, politik dan persekitaran sosial. Perubahan-perubahan ini pula akan mempengaruhi prestasi pasaran saham yang seterusnya akan menjejaskan harga-harga nilai unit amanah apabila sebahagian besar portfolio dana tersebut dilaburkan dalam ekuiti di pasaran saham.

2. Risiko Portfolio

Ini merujuk kepada risiko saham tertentu yang terdapat di dalam portfolio dana amanah saham. Sesebuah syarikat mungkin akan meraih keuntungan atau mengalami kerugian dan apabila saham syarikat ini dipegang oleh dana amanah saham tertentu, nilai unit amanah itu akan turut naik atau turun. Risiko ini boleh dikurangkan dengan mempelbagaikan portfolio dan memastikan dana tersebut tidak terlalu menjurus kepada syarikat-syarikat atau sektor-sektor tertentu sahaja.

3. Tiada Jaminan bagi Dividen

Memandangkan dividen kepada pemegang unit diperolehi daripada pendapatan pelaburan, maka kadar dividen tidak dapat ditetapkan. Jika sesebuah dana meraih pendapatan daripada pelaburan yang baik pada sesuatu tahun kewangan, pemegang unit dana tersebut berkemungkinan mendapat dividen yang tinggi.

4. Syarikat Pengurusan

Prestasi sesebuah dana amanah saham itu bergantung kepada kepakaran syarikat pengurusan. Pengurusan yang lemah akan meninggalkan kesan terhadap prestasi dana dan pemegang unit. Untuk itu, sebagai pelabur, anda dinasihatkan supaya membuat kajian menyeluruh mengenai latar belakang syarikat pengurusan di samping kepakaran yang mereka ada. Pelabur juga perlu diingatkan supaya peka dengan garispandaun-garispanduan serta undang-undang yang mengawal industri ini bagi memastikan syarikat pengurusan menguruskan dana-dana mengikut peraturan yang ditetapkan.

5. Risiko Kecairan

Walaupun anda sebagai pelabur berhak untuk menjual semula unit-unit amanah yang anda pegang kepada syarikat pengurusan, anda perlu menunggu sebelum mendapat kembali wang pelaburan anda. Syarikat pengurusan dibenar membayar semula wang pelaburan pelabur dalam tempoh sepuluh hari dari tarikh unit-unit dijual.

Faedah Melabur di dalam Saham Amanah

Secara dasarnya, pelaburan di dalam saham amanah adalah untuk anda yang mahukan satu bentuk pelaburan bagi jangka masa sederhana dan panjang. Sebelum mengambil keputusan untuk melabur wang yang telah dikumpul dari penat lelah anda, terlebih dahulu, anda perlu menilai kebaikan yang boleh dinikmati dengan melabur di dalam saham amanah.

Apa yang penting ialah pelaburan dalam saham amanah membolehkan anda mempelbagaikan dana-pelaburan dengan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan pelaburan secara terus di dalam pasaran saham.

Pelaburan saham amanah juga amat sesuai bagi anda yang mempunyai modal yang kecil, tidak arif dan tidak mempunyai masa untuk menguruskan portfolio peribadi . Kelebihan melabur di dalam saham amanah adalah seperti berikut:



1. Kepelbagaian Pelaburan bagi Mengurangkan Risiko

Bagi anda yang melabur di dalam saham amanah, kelebihan yang nyata ialah kepelbagaian di dalam pelaburan (diversification) kerana anda akan dapat mengurangkan risiko. Melalui saham amanah anda kini secara tidak langsung berpeluang melabur ke dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di bursa saham. Menerusi pelaburan di dalam dana saham amanah, pengurus dana akan melaburkan ke dalam pelbagai saham-saham termasuk saham mewah, pasaran wang dan jenis pelaburan lain yang tersenarai dalam strategi pelaburan dana tersebut. Dengan pelaburan yang walaupun kecil, anda boleh mempelbagaikan pelaburan yang mana tidak dapat anda lakukan dengan jumlah yang sama jika mengambil bahagian secara langsung di dalam pasaran saham terbuka . Dengan yang demikian, pelaburan amanah saham merupakan pilihan pelaburan yang bijak bagi mereka yang mempunyai wang yang kecil.

2. Kemudahan Mendapat Pengurusan Dana Profesional

Para pelabur tidak perlu bersusah-payah untuk menjalankan penyelidikan terhadap pasaran saham kerana pelaburan anda akan diuruskan oleh pengurus-pengurus dana profesional. Pengurusan dana yang efektif memerlukan penyelidikan berterusan dan sentiasa peka terhadap sebarang perubahan pasaran yang mungkin akan mempengaruhi pergerakan pasaran saham. Untuk itu, semua keputusan pelaburan dibuat berdasarkan penyelidikan rapi dan menyeluruh. Anda hanya perlu memantau, menilai dan menyimpan rekod dana-dana yang anda laburkan.

3. Kemudahan Menunaikan Pelaburan

Saham amanah boleh dibeli dan dijual dengan mudah pada bila-bila hari urusniaga. Ini bermakna anda bebas untuk memasuki atau keluar daripada pelaburan saham amanah pada bila-bila masa yang sesuai . Syarikat pengurusan saham amanah dimestikan membeli semula unit-unit amanah yang ingin anda jual semula. Anda boleh mendapat wang anda dalam tempoh sepuluh hari atau kurang dari tarikh unit anda dijual. Namun ada sesetengah syarikat pengurusan yang melunaskan bayaran pada hari urusniaga yang sama.

4. Banyak Pilihan Dana Mengikut Objektif Pelaburan

Setiap dana mempunyai objektif pelaburannya yang tersendiri. Sebagai pelabur, anda juga perlu mempunyai objektif pelaburan anda. Jika anda membuat pelaburan untuk mendapatkan pulangan sederhana, maka dana seimbang lebih sesuai untuk anda. Jika anda mahukan pulangan yang cepat, maka risikonya agak tinggi juga. Untuk itu dana yang sesuai ialah dana pertumbuhan.

5. Transaksi Pelaburan Mudah

Para pelabur mempunyai pilihan serta kemudahan untuk melabur, menjual semula, menukar dana atau mencantumkan unit-unit pelaburan mereka.

6. Pulangan Menarik

Kajian telah membuktikan bahawa pelaburan di dalam saham amanah dapat memberi pulangan yang lebih menarik daripada pelaburan lain seperti simpanan tetap. Sesetengah dana unit amanah juga dapat mencapai prestasi yang lebih baik dengan mencatatkan pertumbuhan mengatasi Indeks Komposit Bursa Saham Kuala Lumpur.

Perbandingan Unit Amanah Dan Instrumen Pelaburan Lain

Perbandingan Unit Amanah Dan Instrumen Pelaburan Lain

Semua instrumen pelaburan mempunyai tahap risiko dan pulangan berbeza. Secara amnya, perbandingan risiko dan pulangan bagi pelbagai pelaburan boleh diringkaskan seperti berikut:-

Jenis PelaburanTahap RisikoTahap Jangkaan Pulangan
1.Produk Derivatif KewanganTinggiTinggi
2.Pelaburan dalam saham
3.Hartanah
4.Unit amanah
5.Deposit tetap
6.TunaiRendahRendah

Mengukur Prestasi Unit Amanah

Bagaimana Mengukur Prestasi Unit Amanah

Bagi mengukur prestasi tabung unit amanah, pelabur perlu memahami definasi asas pulangan pelaburan.

Jumlah Pulangan

Perubahan di dalam Nilai Aset Bersih (NAB), dengan andaian pengagihan pendapatan akan dilaburkan semula dan tiada transaksi jualan balik dibuat sepanjang tempoh tersebut.


Purata Pulangan Tahunan

Jumlah pulangan untuk tempoh tersebut di bahagikan dengan bilangan tahun dalam tinjauan.

Pulangan Pengagihan Pendapatan (bagi tabung unit amanah berharga tetap)

Pengagihan pendapatan dibahagikan dengan harga tabung, yang ditetapkan pada RM1.00 se unit.

Penanda Aras


Walaupun prestasi masa lalu tabung unit amanah tidak dapat menunjukkan prestasinya untuk masa hadapan, prestasi masa lalu sebuah tabung unit amanah boleh digunakan sebagai perbandingan dengan penanda aras dan tabung unit amanah lain yang mempunyai objektif pelaburan yang sama. Penggunaan penanda aras yang sesuai dengan objektif tabung atau kelas aset banyak memberi faedah kerana kelas aset yang berbeza mempunyai prestasi yang berlainan mengikut keadaan pasaran. Sebagai contoh, kebanyakkan tabung ekuiti melabur dalam ekuiti Malaysia menggunakan penanda aras Komposit Indeks Kuala Lumpur (KLCI) atau mana-mana indeks Bursa Malaysia. Bagi tabung imbang pula, ia akan menggunakan penanda aras yang mempunyai kombinasi kelas aset. Contohnya, 50:50 iaitu kombinasi KLCI dan 3-bulan KLIBOR. Apabila memilih tabung unit amanah, pelabur harus memilih tabung yang secara konsisten mencatat prestasi melebihi penanda aras atau pesaingnya.

Badan Kawal Selia Unit Amanah Di Malaysia

Penubuhan dan operasi tabung unit amanah adalah tertakluk di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan garis panduan yang dipantau dari semasa ke semasa dan diuruskan oleh Suruhanjaya Sekuriti, sebuah badan kawal selia untuk tabung unit amanah di Malaysia. Mengikut undang-undang, surat ikatan perlu didaftarkan pada Suruhanjaya Sekuriti dan perlantikan pengurus, pemegang amanah, pengurus pelaburan, lembaga pengarah, pegawai ketua eksekutif, ahli jawatankuasa pelaburan dan ahli jawatankuasa syariah perlu diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti.