Monday 1 September 2014

Faedah Melabur di dalam Saham Amanah

Secara dasarnya, pelaburan di dalam saham amanah adalah untuk anda yang mahukan satu bentuk pelaburan bagi jangka masa sederhana dan panjang. Sebelum mengambil keputusan untuk melabur wang yang telah dikumpul dari penat lelah anda, terlebih dahulu, anda perlu menilai kebaikan yang boleh dinikmati dengan melabur di dalam saham amanah.

Apa yang penting ialah pelaburan dalam saham amanah membolehkan anda mempelbagaikan dana-pelaburan dengan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan pelaburan secara terus di dalam pasaran saham.

Pelaburan saham amanah juga amat sesuai bagi anda yang mempunyai modal yang kecil, tidak arif dan tidak mempunyai masa untuk menguruskan portfolio peribadi . Kelebihan melabur di dalam saham amanah adalah seperti berikut:



1. Kepelbagaian Pelaburan bagi Mengurangkan Risiko

Bagi anda yang melabur di dalam saham amanah, kelebihan yang nyata ialah kepelbagaian di dalam pelaburan (diversification) kerana anda akan dapat mengurangkan risiko. Melalui saham amanah anda kini secara tidak langsung berpeluang melabur ke dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di bursa saham. Menerusi pelaburan di dalam dana saham amanah, pengurus dana akan melaburkan ke dalam pelbagai saham-saham termasuk saham mewah, pasaran wang dan jenis pelaburan lain yang tersenarai dalam strategi pelaburan dana tersebut. Dengan pelaburan yang walaupun kecil, anda boleh mempelbagaikan pelaburan yang mana tidak dapat anda lakukan dengan jumlah yang sama jika mengambil bahagian secara langsung di dalam pasaran saham terbuka . Dengan yang demikian, pelaburan amanah saham merupakan pilihan pelaburan yang bijak bagi mereka yang mempunyai wang yang kecil.

2. Kemudahan Mendapat Pengurusan Dana Profesional

Para pelabur tidak perlu bersusah-payah untuk menjalankan penyelidikan terhadap pasaran saham kerana pelaburan anda akan diuruskan oleh pengurus-pengurus dana profesional. Pengurusan dana yang efektif memerlukan penyelidikan berterusan dan sentiasa peka terhadap sebarang perubahan pasaran yang mungkin akan mempengaruhi pergerakan pasaran saham. Untuk itu, semua keputusan pelaburan dibuat berdasarkan penyelidikan rapi dan menyeluruh. Anda hanya perlu memantau, menilai dan menyimpan rekod dana-dana yang anda laburkan.

3. Kemudahan Menunaikan Pelaburan

Saham amanah boleh dibeli dan dijual dengan mudah pada bila-bila hari urusniaga. Ini bermakna anda bebas untuk memasuki atau keluar daripada pelaburan saham amanah pada bila-bila masa yang sesuai . Syarikat pengurusan saham amanah dimestikan membeli semula unit-unit amanah yang ingin anda jual semula. Anda boleh mendapat wang anda dalam tempoh sepuluh hari atau kurang dari tarikh unit anda dijual. Namun ada sesetengah syarikat pengurusan yang melunaskan bayaran pada hari urusniaga yang sama.

4. Banyak Pilihan Dana Mengikut Objektif Pelaburan

Setiap dana mempunyai objektif pelaburannya yang tersendiri. Sebagai pelabur, anda juga perlu mempunyai objektif pelaburan anda. Jika anda membuat pelaburan untuk mendapatkan pulangan sederhana, maka dana seimbang lebih sesuai untuk anda. Jika anda mahukan pulangan yang cepat, maka risikonya agak tinggi juga. Untuk itu dana yang sesuai ialah dana pertumbuhan.

5. Transaksi Pelaburan Mudah

Para pelabur mempunyai pilihan serta kemudahan untuk melabur, menjual semula, menukar dana atau mencantumkan unit-unit pelaburan mereka.

6. Pulangan Menarik

Kajian telah membuktikan bahawa pelaburan di dalam saham amanah dapat memberi pulangan yang lebih menarik daripada pelaburan lain seperti simpanan tetap. Sesetengah dana unit amanah juga dapat mencapai prestasi yang lebih baik dengan mencatatkan pertumbuhan mengatasi Indeks Komposit Bursa Saham Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment